“Kawbra” UGV pertama buatan Malaysia

‘Kawbra’, Kenderaan Darat Tanpa Pemandu (UGV) pertama buatan tempatan, dipertontonkan buat pertama kali kepada pemain industri pertahanan dunia hari ini.

Sesuai dengan namanya, kenderaan itu tidak menggunakan bahan bakar yang menjadikan pergerakkan kenderaan itu senyap seperti seekor ular tedung, selain rupa bentuk bentuk hadapannya direka seakan ular berbisa berkenaan.

Ia dibangunkan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dengan kerjasama syarikat Dream Age, dan direka sebagai kenderaan taktikal untuk menyelinap ke kawasan berisiko.

Ketua Kejuruteraan Pembuatan STRIDE Aizul Fazli Suhaimi berkata UGV itu boleh diatur gerak ke kawasan yang berbahaya dimasuki manusia, seperti kawasan pencemaran sisa toksik dan berisiko kepada nyawa manusia dengan hanya menggunakan kawalan jarak jauh.

“Kita boleh atur gerak kenderaan itu bagi memasuki kawasan berkenaan untuk mengambil data dan boleh juga melakukan video masa nyata untuk mengetahui keadaan sebenar di lokasi terbabit, sekali gus tidak perlu membahayakan orang lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

STRIDE adalah salah satu jabatan di bawah Kementerian Pertahanan, yang bertanggungjawab dalam kajian dan pembangunan, inovasi berkaitan teknologi pertahanan.

Selain Kawbra, STRIDE di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Asia 2022, di sini turut mempamerkan Stesen Senjata Kawalan Jarak Jauh dan fabrik pintar yang dibangunkan institut berkenaan.

Mengulas lanjut, Aizul berkata Kawbra dilengkapi tiga sensor iaitu, sensor halangan yang menggunakan teknologi inframerah untuk mengesan objek yang menghalang laluannya, sensor geomaknatik dan sensor GPS untuk ‘follow me mode’, selain mempunyai empat kamera di bahagian hadapan, sisi kanan dan kiri serta belakang untuk tujuan pemantauan.

“Kenderaan ini mampu membawa beban sehingga 200 kilogram dan boleh bergerak sejauh 40 kilometer bagi setiap cas penuh,” katanya yang memaklumkan UGV itu dikuasakan dengan bateri pengecasan elektrik.

Aizul mendedahkan, tahap kesediaan teknologi (TKT) untuk kenderaan UGV itu ketika ini berada pada tahap empat dan untuk tujuan komersil, TKT perlu berada sekurang-kurangnya pada tahap sembilan.

“Hari ini pertama kali kami pertontonkan UGV ini kepada umum. Diharapkan melalui Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Asia 2022 ini, ada pihak yang menunjukkan minat,” katanya.

UGV Kawbra mula dibangun pada 2019 dengan kos tidak melebihi RM1 juta, namun proses persiapannya sedikit terganggu susulan negara dilanda dengan pandemik COVID-19.

Add comment

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.